Sabtu, November 05, 2011

Laporan Lawatan SKKL 2011

Pada pagi hari Sabtu bersamaan dengan 22 Oktober 2011, satu rombongan dari Sekolah Kebangsaan Kampung Lintang Lawas telah melaksanakan lawatan sambil belajar ke Taman Zoo Lok Kawi dan Muzium Sabah. Seramai 12 orang murid menyertai lawatan tersebut termasuk 9 orang guru serta seorang Pembantu Pengurusan Murid. Rombongan ini diketuai oleh Cikgu Tahir Bin Untong selaku penyelaras program lawatan.
Objektif lawatan tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada murid mengenai kehidupan haiwan-haiwan dalam dunia sebenar, memberi pengalaman baru dan melihat sendiri kehidupan haiwan dengan lebih dekat lagi serta memberi pengetahuan kepada murid-murid tentang sejarah Malaysia terutamanya sejarah Negeri Sabah.
Program pertama lawatan, kami telah memulakan aktiviti dengan melawat Taman Zoo Lok Kawi. Kami berkumpul seawal jam 8 pagi setelah perjalanan dari bandar Kota Kinabalu yang memakan masa kurang dari 1 jam ke destinasi yang dituju. Tiket untuk orang dewasa dikenakan sebanyak RM10 dan harga tiket untuk murid ialah RM5. Anak-anak murid kelihatan sangat teruja dengan aktiviti pertama lawatan mereka. Kami turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik daripada haiwan-haiwan yang dilatih oleh pihak zoo. Jika tidak mengikuti lawatan ini, mereka memang tidak berpeluang untuk ke tempat seperti ini. Program pertama berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.
Guru-Guru dan anak-anak murid
Musang tengah nak detect makanan tuu.. haha

Selepas itu, kami bergerak ke Tanjung Aru untuk menikmati makan tengahari dan berehat sebentar sebelum meneruskan program lawatan yang kedua.
Program kedua lawatan, kami berkumpul semula di Muzium Negeri Sabah sekitar jam dua petang. Perjalanan menuju ke Muzium Negeri Sabah memakan masa selama 15 minit dari Pantai Tanjung Aru. Di Muzium Negeri Sabah, murid berpeluang melihat sendiri pelbagai artifak peninggalan sejarah yang tidak pernah mereka lihat dan diantaranya pameran ‘Rahsia dari laut’ seperti duit syiling dari negara China, tembikar-tembikar lama dan meriam yang dijumpai dari dasar laut Cina Selatan. Selain itu, murid juga melihat sendiri beberapa replika pakaian adat suku-suku kaum yang terdapat di negeri Sabah yang selama ini hanya dilihat dalam buku teks mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Murid-murid juga boleh merasai sendiri menaiki kereta antik yang digunakan sebagai pengangkutan awam dan persendirian dari era tahun 1920 hingga 1980-an. Turut menarik perhatian murid-murid ialah rangka ikan paus yang ditemui di perairan Sepanggar, Sabah. Kami berada di muzium selama 1 jam 30 minit.
Selepas itu, kami bertolak ke pusat bandar dan membawa anak-anak murid bersiar-siar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Kemudian jam 5.30 petang, sekali lagi kami berkumpul bersama-sama untuk menikmati makan malam di Anjung Selera, Tanjung Lipat Likas. Aktiviti berakhir sekitar jam 7.30 malam. Kami balik ke tempat penginapan masing-masing untuk berehat. Pada keesokan harinya, kami pulang ke Lawas dengan membawa kenangan dan memori bersama-sama. Diharap dengan lawatan sambil belajar ini, ia dapat membuka minda murid disamping memberi peluang kepada murid untuk melihat dengan lebih dekat lagi habitat haiwan dan mengetahui serba sedikit tentang sejarah kenegaraan.

2 ulasan: